Sunday, November 30, 2008

Buluh madu menjana ekonomi

Karim mampu jual 60 kilogram rebung sehari


POKOK rebung buluh madu juga cantik dijadikan landskap.


KANGAR 4 Jun - Pengusaha tanaman buluh madu, Karim Derani, 55, kini boleh menarik nafas lega kerana hasil usahanya itu mampu mengeluarkan rebung kira-kira 60 kilogram (kg) sehari.

Rebung yang dari kebun buluh madu di Kampung Syed Omar itu dijual ke pasar dan kedai-kedai makanan berdekatan dengan harga RM3 bagi sekilogram.

''Pada waktu cuti sekolah saya mendapat banyak tempahan daripada individu yang ingin mengadakan kenduri kerana kebiasaannya mereka akan mencampurkan rebung bersama masakan kari," katanya.

Karim berkata, beliau juga membuktikan tanaman buluh tidak menyebabkan tanah menjadi semak sekiranya memilih benih dan cara penanaman yang betul.

''Saya memilih buluh jenis madu kerana selain boleh menghasilkan rebung yang lebih sedap ia juga sesuai dijadikan tanaman hiasan yang menarik.

''Tanaman buluh juga senang dijaga kerana ia merupakan sejenis tumbuhan yang lasak tetapi masih perlu dijaga dengan rapi dan diberi baja," katanya.

Jelasnya, rebung matang yang mencecah ketinggian satu meter sahaja sesuai dipotong.

Katanya, tanaman rebung ini juga perlu diberikan aliran air yang sempurna untuk menjaga tahap kelembapannya.

''Untuk mendapatkan hasil rebung yang baik, pokok buluh memerlukan air kerana pada musim kering rebungnya akan berkurangan.

''Jadi aliran air yang baik membolehkan rebung dikeluarkan di luar musimnya," jelasnya.

Selain menjual rebung, Karim juga menjual benih pokok buluh madu yang mendapat permintaan menggalakkan.

''Permintaan terhadap benih pokok buluh sangat banyak sehingga saya terpaksa mengehadkan pengeluarannya kerana mahu menjaga tumbesaran pokok.

''Saya juga berhasrat memperbesarkan tanaman ini bagi memenuhi pasaran yang lebih luas," katanya.

No comments: